Tuhan

Ogos 29, 2008

Tuhan, kau kata, sambil peluh menjejeh menuruni dahi

badan menggeletar sejuk dalam cuaca panas,

Tuhannn, tolong aku

sambil kaki terkepit berjalan dengan tapak kecil menuju ke tandas

Dalam sana selepas terburai segala isi perut kau,

sambil tersengih kau lafaz

terima kasih, Tuhan.

(ironi bila perkataan Tuhan akan banyak terucap tika kesakitan)

Advertisements

Lelap

Ogos 29, 2008

Berikan aku barang seminit dua

untuk mati seketika

Berikan aku barang

seminit dua

untuk lelap sekejap.

Sumpah

Ogos 29, 2008

Bersumpahlah atas nama Tuhan

atas kitab dan kau akan dikurniakan

berjuta-juta wang

Bersumpahlah atas nama Tuhan

duit.

Lompang

Ogos 12, 2008

kecamuk amuk ribut petir gelombang amarah kemarau tengkujuh

pun reda, lompang di jiwa satu terisi dan yang lain masih

mencari.

Hati

April 23, 2008

Kelakar, bukan?

Bagaimana selalu krisis yang tercetus mengambil kurang seminit untuk meletus; kau hanya perlu lembikkan hati biar ia lembut, mudah terguris dan dijentik, biar ia sakit dan hatimu akan terasa sengal.

Sakit hati itu kau salurkan kepada suara yang akan menjadi nyaring, tinggi dan bergetar ketar atau

kau salurkan kepada hayunan badan, tangan, kaki atau

kepada manik-manik airmata atau

carutan dan makian atau

pada kegilaan yang merasuki di luar kawalan.

Hati yang lembik terguris tadi kau balutkan ia dengan api marak menyala

yang akan membakar nadi sendi dan urat dan

kau akhirnya mengguris pula

hati-hati yang lain dan begitulah kitarannya

berputar dan tidak akan

berhenti.

Bongkah Ais

April 23, 2008

Sebongkah ais di depan mata, sejuknya

mengigil jiwa

dalam cemas aku sentuh

dan belai

dengan jari yang hangat tetapi

ia degil

kehangatan jari masih tidak

dapat mencairkannya

Aku nanti penuh harap

bongkah ais

ini akan gemalai dalam

liuk lentuk

jemariku.

Latitud

Februari 27, 2008

[terjemahan sajak penyair Liyana Yusof, sajak asalnya boleh dilihat di sini]

kau
si ratu melata gembira di tempatmu
menulis kepadaku
barang sejengkal atau berbidang-bidang jauhnya dengan
latar bangunan-bangunan beralaskan langit
sebagai mahkotamu.

kata-kata kau menerjang bebas meninggalkan kertas menyeluruhiku
daripada tulisanmu aku tercium bau jalan-jalan yang menyentuh telapak kakimu
dan suaramu kini umpama tamparan lembut menyapa pipiku.
Kau berkata:
Sayang, inilah aku yang sebenar-benarnya

Aku gengam seluruh kata-katamu mengimbau kembali kala
kau dan aku
saling bertukar nota bila tiada mata yang memandang.
Kenangan ini selalu membanjiri benakku seperti mana harapanku
agar kau jua akan kembali
kepadaku.

Aku bina titi antara kita bertiangkan surat-suratmu
untuk kakimu yang letih
tetapi tawamu berdedau tampak
tidak menampakkan lesu
tidak memerlukan penawar
tidak memerlukan
aku.

kita cuma berutus bata demi bata membina dinding
yang kini menjulang langit tidak mampu
untuk aku daki.