Rusuh

Mac 27, 2012

Sudah lama hati tidak merusuh

Ia duduk diam-diam, sepi dan sunyi

Sampai datang tengkujuh, ribut petir  menggila,

tiba-tiba.

Terkekau, ia jatuh

terhempas, pecah berderai

dan bercantum semula membentuk hati yang sama.

Bangkit, ia berbekas luka

Tidak lagi diam, tidak lagi sepi,

tidak lagi sunyi.

Ia rusuh,

sendiri.

Sumpah

Ogos 29, 2008

Bersumpahlah atas nama Tuhan

atas kitab dan kau akan dikurniakan

berjuta-juta wang

Bersumpahlah atas nama Tuhan

duit.

Sempat

Ogos 29, 2008

memandu dengan meter minyak berada di E

membuatkan mata aku tidak berhenti menjenguk dan memeriksa tiap ketika

barang seminit dua

dengan harapan sempat sampai ke lokasi.

Hati

April 23, 2008

Kelakar, bukan?

Bagaimana selalu krisis yang tercetus mengambil kurang seminit untuk meletus; kau hanya perlu lembikkan hati biar ia lembut, mudah terguris dan dijentik, biar ia sakit dan hatimu akan terasa sengal.

Sakit hati itu kau salurkan kepada suara yang akan menjadi nyaring, tinggi dan bergetar ketar atau

kau salurkan kepada hayunan badan, tangan, kaki atau

kepada manik-manik airmata atau

carutan dan makian atau

pada kegilaan yang merasuki di luar kawalan.

Hati yang lembik terguris tadi kau balutkan ia dengan api marak menyala

yang akan membakar nadi sendi dan urat dan

kau akhirnya mengguris pula

hati-hati yang lain dan begitulah kitarannya

berputar dan tidak akan

berhenti.

Semuanya Akan Pergi

Februari 5, 2008

Semua benda akan pergi, aku kata pada dia
seraya jariku menghunus tepat pada kakinya yang lembap berselaput pasir itu dan
dia bertanya apa? dan
aku kata semua benda akan pergi
pasir di kakinya, ombak yang tak henti berdebur, angin yang berpuput deras
dia, aku
cinta
semuanya akan pergi
nanti.

Satu hari nanti.

Salju

Disember 18, 2007

I

Bersebelahan tetapi serasa amat jauh seperti wujud ruang renggang yang menghapus panas dan haba genggaman tangan yang duduk bersebelahan

hanya dingin merajai; memadam sejuk penghawa dingin

di layar filem berputar rancak

di sisi permaisuri salju melata punggung sepi.

Wajah

Disember 18, 2007

Setiap kedutan terlukis di wajah menyimpan seribu satu kisah
gembira – mata terang bercahaya, mulut manis berseri pipi bergetar menahan tawa
duka – mata suram, pahit meraja senyum, pipi jadi pelantar air mata
ia adalah topeng untuk manusia.