Sekejap

Februari 23, 2007

Hari itu aku fikir aku hampir mati.

 

Jam 2 pagi dalam bilik dilimpahi cahaya oren dari mentol pendaflour berjenama Osim aku terbaring atas katil sambil membaca Kafka on the Shore karya Haruki Murakami.

 

Tiba-tiba pandangan aku berpinar dan berbalam.

 

Bilik aku senget sekejap. Mata aku lihat persekitaran aku berbintik-bintik kelabu bercampur oren macam skrin televisyen yang sudah tamat siaran.

 

Masa berhenti. Kepala kelabu macam kena balut. Telapak kaki sejuk langsung menjalar ke betis.

 

Aku mati sekejap atas garis mimpi dan realiti.

Advertisements

Didi

Februari 23, 2007

Didi, kucing putih separa kelabu yang masih muda, mati semalam akibat batu karang dan komplikasi selepas pembedahan. Sebelum pergi, kata doktor, kepala dia liar menyapu seluruh bilik seperti mencari sesuatu. Mak kata mungkin Didi cari kami.

 

Cari abah, mak, kakak tapi bukan aku.

 

Aku sendiri sangsi sama ada dia cam muka aku kerana hubungan kami setakat aku sapa masa pergi dan balik kerja atau bila mak suruh angkat dia pergi masuk tandas dan balik semula ke sangkar.

 

Abah tanam dia di depan laman rumah. Nanti, abah kata nak tanam pokok atas kubur Didi.

 

Didi mati semalam. Hati aku tercuit sedikit.

 

Aku tak tahu sama ada dia kenal aku.