Kita
April 23, 2008
I
Lewat kebelakangan ini perbualan kita hanyalah berkisar tentang drama dan filem dan berita yang sedang ke udara di kaca televisyen,
biasanya ia lebih kepada bebelanmu mengkritik setiap inci perlakuanku dan aku akan melawan
suara sedikit meninggi dan akhirnya peperangan kata yang berakhir dengan sepi,
hujung minggu kita habiskan masa begitu suram – kau di dapur memasak atau dalam tandas menyental kuning ketiak baju sambil beromel tidak putus-putus,
aku di ruang tamu bersiesta, atau menonton saluran HBO atau sukan, tidur dan makan,
sepi dan ketidakgembiraan menyampuli keadaan,
setiap pergerakan mencetus pergaduhan, kau dan aku sama-sama
benci melihat wajah yang semakin tua,
kita tidak mahu berkongsi apa-apa; duit, pendapat malahan cinta!
Cinta yang entah ke mana
hilangnya.
Hati
April 23, 2008
Kelakar, bukan?
Bagaimana selalu krisis yang tercetus mengambil kurang seminit untuk meletus; kau hanya perlu lembikkan hati biar ia lembut, mudah terguris dan dijentik, biar ia sakit dan hatimu akan terasa sengal.
Sakit hati itu kau salurkan kepada suara yang akan menjadi nyaring, tinggi dan bergetar ketar atau
kau salurkan kepada hayunan badan, tangan, kaki atau
kepada manik-manik airmata atau
carutan dan makian atau
pada kegilaan yang merasuki di luar kawalan.
Hati yang lembik terguris tadi kau balutkan ia dengan api marak menyala
yang akan membakar nadi sendi dan urat dan
kau akhirnya mengguris pula
hati-hati yang lain dan begitulah kitarannya
berputar dan tidak akan
berhenti.
Bongkah Ais
April 23, 2008
Sebongkah ais di depan mata, sejuknya
mengigil jiwa
dalam cemas aku sentuh
dan belai
dengan jari yang hangat tetapi
ia degil
kehangatan jari masih tidak
dapat mencairkannya
Aku nanti penuh harap
bongkah ais
ini akan gemalai dalam
liuk lentuk
jemariku.