Ia
Ogos 9, 2007
Berikan aku arakanggur berperisa puisi, arak berbuih prosa
Aku mahu mabuk, berenang dalam sungai syurga bahasa yang airnya manis
berpayung bawah rimbun pohon-pohon sastera yang buahnya lazat
Aku mahu bersenggama dengan keindahan lingua dunia
masuk dalam-dalam, merasai kenikmatan dan kesedapannya
Aku dahaga bait dan prosa yang bernyawa, tidak mati
berisi bukan kosong
Kedahagaan itu aku mahu pegang kuat-kuat, tak mahu hilang agar
terus mabuk, terus berahi
pada ia, dengan ia.
Tidak Bertajuk Lagi
Ogos 9, 2007
Kemasyhuran amat menakutkan
seperti bayang-bayang ia terantai pada tumit kaki
mengekori langkah sehari-hari, menghantui tapi
tidak dipeduli.
Ia wujud senyap-senyap di setiap ruang
seiring degup jantung, selari hembus nafas menunggu
keterbukaan mereka yang dahagakannya.
Bila peluang datang, ia menerkam!
menjalar ke setiap isi dan nadi
merentap dan menakluk jiwa nurani.
Ia tidak sakit apalagi berbekas tapi menggerunkan bila
jiwa yang ditakluk tersenyum
puas.
Malaya
Ogos 9, 2007
Sebu jiwa ini mencengkam kuat hingga tersesak nafas, tidak terluah kata
dibiar terbuku – meluluh jiwa, mengusut kepala
(rasanya tidak enak, seperti belati menghiris hati)
Mahu aku jerit melontar amarah pada angkasa luas terbentang kerana
belenggu diri yang mengunci sangkar minda, mengurung idea dan kata-kata
Tapi pada siapa? Siapa?
Hanya aku. Pada aku.
Malaya!
Aku mahu lepas bebas
* Malaya dalam Bahasa Tagalog bermakna bebas, dipetik daripada buku As I Please tulisan Salleh Ben Joned.