Klentang Klentung!
Mac 12, 2007
Kumat kamit
Kau lontarkan vokal lengkap dengan
falseto dan vibrato,
Sebutan kau bulat dan padat
desibel suara rendah tinggi,
Ia lunak
macam nasi ditanak sama santan,
Kau sulam kata-kata perkataan perkataan ayat-ayat –
Memancut laju seperti cirit dan mesingan
Penuh yakin
Berteraburan –
keluar dari mulut yang berbau curut memasuki liang dan rongga udara.
Mereka bergerak – rawak, terus, aku tak tahu tapi seperti ada kabel di antara mulut kau dan telinga aku yang membenarkan paket kata kau memasuki telinga ini - menyondol masuk dalam saluran langsung menghentak gegendang telinga aku!
Klentang!
Aku terkejut
Apakah ciritan dan bunyi mesingan itu bunyinya
begini?
Klentung!
Ia hentak lagi
Klentang klentung! Klentang klentung! Klentang klentung!
Runut bunyinya asak mengasak
lagi dan lagi dan lagi
Mencipta harmoni yang mengajak kepala aku bergoyang
atas irama tin kosong berseretan
atas jalan!
(Sudah tengah bulan, aku cuma mau gaji yang tertangguh kerana terlalu banyak bil dan tanggungjawab yang harus dilunasi)