MERDEKA!
Julai 28, 2006
Apa merdeka?
Trafik jam Konsert Nyanyi-nyanyi Tepuk tangan Ketawa-ketawa gembira Gelak Berdekah Lepak Mamak Lepak Disko Menari erotik Minum arak Hisap ganja Hisap dadah Romen Main Perarakan kereta berhias Gadis cantik bawak sepanduk pakai kebaya Slogan Duduk rumah Tengok tv rancangan khas hari Merdeka Tidur Makan Solat Tidur Solat Hajat Tengok DVD Baca sajak Bunyi gendang Main muzik BUNGA API! BUNGA API!
Apa merdeka?
Definisi aku, “Merdeka adalah bebas daripada sebarang unsur penjajah baik minda, hati dan fikiran.”
Tapi lidah aku lebih mahu bertutur bahasa Inggeris
Supaya lebih global dan glokal [kata pemimpin kita]
Telinga aku puja ritma dan irama muzik Barat
Aku gemar tonton filem-filem Barat [juga filem Kantonis, Hindi. Filem Melayu tapi tak selalu, ikut pengarah]
Pakaian santai aku – celana pendek 3 suku dan t-shirt
Baju Melayu – Hari Raya, Kain pelikat – Maaf, aku mahu boxer.
Mana Malaysianya
Mana nilai estetika
Mana nilai bangsa
Mana merdeka? [oh ya, aku lupa, kita merdeka cara diplomatik. Tak terasa jerih mahu berjuang demi kebebasan]
Sampai aku keliru
Dengan identiti aku
Sebagai bangsa Malaysia [dan Melayu]
Apa merdeka?
Aku tanya soalan trivia itu pada diri sendiri.
Fairul Nizam Ablah
28 Julai 12.00pm
ANAK KECIL, ULAR DAN RAKSASA
Julai 26, 2006
Rumahnya ada ular
Kata anak kecil itu
Ular itu jahat!
Datang tak kira masa
Ia muntahkan racunnya
Melingkar takut
Mengundang trauma
Mencipta ngeri
Rumah dia ada raksasa
Kata anak kecil itu
Raksasa itu zalim!
Datang tak kira waktu
Badannya berbulu
Matanya berjelaga warna amarah
Ratah dagingnya
Seksa jiwanya
Dera mentalnya
Ibu, ibu
Di rumah ada ular ada raksasa
Kata anak kecil itu
Biarlah, biarlah
Itu imaginasi adik aja
Jangan risau, satu hari nanti ia pergi, ya?
Kata ibu
Yang senyumnya sepahit gula
Dan matanya berbutir kaca
Tapi ia tak pergi
Malah makin kerap datang
Makin ganas
Makin himpit
Makin sesak
Hilang senyum tawa
Ganti hiba
Tinggallah dia
Anak kecil itu
Sama ular sama raksasa
Sama ibu sama kakak sama abang
Di rumah sewa sekangkang kera
Di ibu kota.
SANDIWARA DRAMA SWASTA JAM 8 MALAM
Julai 20, 2006
Dua orang tua
Berpencak tari di atas pentas
Sandiwara drama swasta jam 8 malam
Disambut sorak sorai penyokong
Yang masing-masing sibuk kira untung yang bakal masuk di kantung
Ayuh mulakan!
Tikam! Elak!
Balas! Tahan!
Tumbuk! Terajang!
Termengah-mengah dua si tua
Lelah kerana usia meniti lewat senja
Tapi menang harus MENANG!
Fikir strategi
Dapat sokongan
Si penyokong
Ada Setia, Pak Turut, Celupar, Geliga, Bendul, Bodoh Sombong, Bodoh, Kaki Putar Belit, Lidah Bercabang dan macam-macam orang
Macam-macam ragam
Dengan agenda tersendiri
Ah, persetankan orang lain
Yang penting perut harus diisi
Kaya mesti tambah kaya
Miskin harus jadi anjing
Yang cari makan di tepi jalan
Sembelih! Sembelih! Sembelih!
Sembelih semua yang bukan kroni
Seperti bidak tentera di meja catur
Yang tugasnya untuk menurut dan akhirnya MATI!
Dua orang tua
Masih berpencak tari
Di atas pentas lewat dinihari
Sambil disaksi penyokong yang kini berani mati
Putar belit putar belit dialog
Hingga para penonton rasa benci mual bebal bodoh selenga
Dan akhirnya ambil keputusan
Tutup TV tak ambil peduli.
ZZZZzzzz…
Fairul Nizam Ablah
20 Julai 2006
10.15am
Sendiri Sendiri
Julai 12, 2006
Atas dasar percaya
Aku lolongkan keluh kesah jiwa
Pada kau
Tanpa sedar
Kata-kata, kisah-kisah, cerita-ceriti, masalah-masalah itu
Jadi jelik, onar dan nanah
Yang kau pendam dalam diri
Ranaplah hati dan limpa kau
Teracun saraf dan urat berselirat
Datang benci hapus simpati
Nah!
Rasakan ubatmu, laung kau
Kata-kata, kisah-kisah, cerita-ceriti aku
Dijaja, dicerita, diroman
Bak belati tajam merobek perut
Terhambur usus menyiat kulit
Mengalir merah pekat darah
Bercampur keringat jantan
Bau pekung, busuk dan hamis
Meruap-ruap
Kuat sampai muntah
Kacau jiwa
Kecamuk minda
Penat, aku penat.
Aku jadi tak peduli
Kerana hidup ini akhirnya
Sendiri-sendiri.
11 Julai 2006, selepas menulis Kadang-Kadang.